Jumaat, 5 Disember 2014

ARTIKEL KHALIF MUAMMAR: 26 NOVEMBER 2014 @ FACEBOOK

Kesan positif terhadap liberalisme yang diwar-warkan oleh kelompok liberal harus dipertimbangkan semula dengan kesan-kesan ngatif yang dibawa seiring dengan pemahaman liberalisme. Kelompok liberalisme di kalangan Islam harus pandai untuk memisahkan kesan positif dan negatif ini  supaya tidak tersalah fahamkan dengan cara berfikir dan cara hidup sebagai seorang Islam. Sejak mulanya peradaban golongan bijak pandai Islam seperti Ibn Khaldun, al-Ghazali dan lain-lain telah memperkatakan tentang kebebasan beragama, kedaulatan undang-undang dan konstitusionalisme dalam peradaban sejarah Islam. Oleh itu, secara asalnya, ia meruapakan idea dari sarjana Islam dalam peradaban mereka. 

Liberalisme membawa kesan negatif kepada umat Islam kerana pemahaman liberalisme yang dibawa oleh Barat berbeza dengan pandangan hidup Islam. Secara asasnya, golongan liberal menerima satu fahaman sekularisme yang mana memisahkan agama dari kehidupan masyarakat umum iaitu agama hanya dijalankan di institut keagamaan sahaja. Ceteknya akal untuk menerima liberalisme sebagai pendapat dalam pemikiran individu beragama terutamanya Islam menjatuhkan maratabat agama secara umum. Hal ini demikian, risiko membelakangkan agama mengikut al-Quran dan Sunnah seterusnya bertindak mengikut hawa nafsu seperti yang berlaku dalam acara "I Want to Touch a Dog" yang mana dianjurkan oleh masyarakat Islam. Islam liberal yang diperkatakan tidak sewajarnya diikuti kerana ia memberi satu penanda akan kebebasan untuk memanipulasi peraturan dan hukum agama yang telah ditetapkan. 

Kebebasan yang diperjuangkan liberalisme yang mana merangkumi kebebasan beragama sewenangnya dimanipulasi untuk kepentingan diri sendiri dengan menolak prinsip ketauhidan dan ayat-ayat al-Quran yang merupakan kebenaran umat Islam. Demokrasi yang diperjuangkan perlulah secara sepenuhnya mengikut sistem politik Islam agar ianya tidak terpesong dari landasan agama Allah supaya tidak dipermainkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Dalam perspektif ini, manipulasi terhadap undang-undang sivil dan syariah seakan mengimejkan liberalnya dalam hukum agama Islam yang dipraktikkan seperti golongan lelaki yang dibenarkan memakai seperti wanita di tempat awam memberi tanggapan yang buruk bahkan salah di sisi agama Islam. Oleh itu, kesan negatif perlu dipertimbangkan dalam menitikberatkan sesuatu keputusan yang diambil supaya pegangan hidup Islam yang diperjuangkan tidak disiakan.

Khamis, 4 Disember 2014

"THE WORLDVIEW OF ISLAM" SEBAGAI "FRAMEWORK STUDI ISLAM" 
OLEH HAMID FAHMY ZARKASYL


Artikel oleh Hamid Fahmny Zarkasyl menyentuh 'worldview of Islam' dalam pendekatan kerangka kajian dalam perspektif Islam. Pemahaman terhadap 'worldview of Islam as a framework studies' merupakan satu kaedah kajian yang berpaksikan kepada perincian Islam. Secara lahiriahnya Islam tidak dibangunkan mengikut zaman seperti Barat yang membangunkan bidang ilmunya mengikut zaman iaitu Zaman Gelap, Zaman Pertengahan, Zaman Reinassance dan sebagainya. Islam meiputi keseluruhan hidup manusia yang mana telah diberi tunjuk ajar kepada umat Islam dalam jalan hidup mereka di dunia dan akhirat termasuk dalam pembelajaran dunia yang dituntut oleh Islam. Dalam perspektif ini, "Islam is a Way of Life" ungkapan yang meliputi segala perincian kehidupan dari aspek pemikiran, perbuatan, pembelajaran dan pengkritikan yang dilakukan dalam kehidupan seharian.

Hamid Fahmy Zarkasyl telah membahagikan beberapa aspek 'worldview of Islam as a framework studies':
  • Pandangan hidup sebagai bangunan konsep
  • Pandangan hidup Islam sebagai asas epistemologi
  • Worldview Islam basis Peradaban
  • Worldview sebagai framework studi filsafat Islam
Berdasarkan empat aspek yang diketengahkan, saya tertarik dengan pemahaman terhadap pandangan hidup sebagai bangunan konsep yang mana ia menerangkan mengenai konsep pengetahuan yang ditimba oleh seseorang melalui jaringan fikiran (mental network) yang akhirnya dikembangkan dan membentuk kerangka berfikir (mental framework). Pemahaman yang dilihat di sini, apabila seseorang individu menimba sesuatu ilmu sedari kecil dan dikembangkan mengikut peningkatan umur dan penambahan ilmu pengetahuan terhadapnya akan mengembangkan pemikiran individu tersebut. Oleh itu, ia merupakan satu proses berfikir iaitu penambahan ilmu pengetahuan terhadap sesuatu perkara yang mana terdiri daripada kepercayaan, aspirasi, idea-idea dan sebagainya yang akhirnya membentuk satu konsep yang saling berkaitan.

Jaringan fikiran dari pelbagai aspek dari pengetahuan individu itu akan membentuk pandangan hidup individu tersebut. Struktur pemikiran individu tersebut akan membentuk konsep-konsep berfikir yang saling berhubungan. Apabila individu tersebut menerima sesuatu pengetahuan, struktur fikiran akan menerima dan menolak perkara yang sesuai dengan pandangan hidup yang telah dibentuk. 

Dalam konteks ini, struktur pandangan hidup dari Islam meliputi konsep hakikat Tuhan, wahyu, penciptaan, jiwa manusia, ilmu, agama, kebebasan, nila dan kebajikan dan juga konsep kebahagiaan. kesemua konsep-konsep ini akan membentuk satu kesatuan pandangan hidup Islam yang dapat digunakan bagi penafsiran makna kebenaran dan realiti, Konsep-konsep ini akan membantu dalam pembangunan kerangka untuk mengkajia sesuatu dalam konteks pandangan hidup Islam. Contohnya dlam zaman kini, negara Brunei telah melaksanakan hukum Hudud yang mana mengikut ajaran Islam secara total dalam negaranya. Ajaran Islam yang diterapkan kepada umat Islam dan diamalkan sebagai pandangan hidup masyarakat Islam.



OPENING ADDRESS THE WORLDVIEW OF ISLAM AN OUTLINE OLEH SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

Perspektif 'worldview' mennurut Islam bertentangan dengan padangan 'worldview' barat yang mana barat mengetengahkan modenisasi dan kemajuan tamadun mereka. Sudut pandangan barat berbeza dengan pandangan 'worldview' dalam Islam dari aspek-aspek pembangunan tamadun seperti pensejarahan, politik, sosial, kebudayaan dan sebagainya untuk melihat sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Sudah tentu terdapat perbezaan dari pandangan hidup Islam dan Barat. Perihal ini secara jelas Islam meliputi keseluruhan cara hidup manusia berasaskan al-Quran dan Sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Barat pula memandang kepada pencapaian dan modenisasi masyarakat.  Pandangan hidup dalam Islam merangkumi dunia dan akhirat. Dalam erti kata lain, umat Islam perlu mempercayai bahawa dunia merupakan persinggahan dan akhirat adalah kekal. Kontras dengan kepercayaan Barat kemajuan dunia adalah kekal. 

'Worldview' dalam Islam bersandarkan kepada realiti yang telah diterangkan oleh Allah Yang Esa diutuskan oleh nabi Muhammad s.a.w. melalui wahyu. Umat Islam wajib mempercayai apa yang terkandung di dalam al-Quran sebagai pengangan kehidupan dan ajaran nabi Muhammad s.a.w. sebagai rujukan. Oleh itu, pandangan hidup Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan walhal Barat pula menjalankan pandangan hidup mereka berasaskan modenisasi. Dalam perspektif ini, hipotesisnya terhadap pandangan hidup Barat, apabila modenisasi berubah maka pengangan hidup mereka juga berubah mengikut pandangan logik mereka dan seterusnya tiada pengangan yang tetap dalam menentukan pendirian secara keseluruhan dalam hidup. Contohnya, manusia diciptakan berpasangan antara lelaki dan perempuan. Apabila timbul perkahwinan sejenis yang dibenarkan oleh Barat berasaskan pandangan logik; perkahwinan dibina atas dasar cinta tidak mengenal rupa, siapa dan apa. tidak hairanlah juga terdapat manusia yang berkahwin dengan kebendaan seperti yang pernah dilakukan oleh masyarakat Barat.

Khamis, 27 November 2014

NOVEL-NOVEL MELAYU MUTAKHIR: ANALISIS CERMINAN BUDAYA BANGSA OLEH RAMLI ISIN.


Novel-novel Melayu mutakhir kini yang diterbitkan berunsurkan kepada cerminan budaya hasil dari pengamatan pengarang novel tersebut. Perihal ini mengikut pandangan Ramli Isin, "memang terdapat persamaan bahagian-bahagian tertentu sama ada bersifat positif mahupun negatif, walaupun dalam ukuran nilai yang kecil, samar-samar dan berbaur dengan unsur-unsur fiksyen dan estetika yang lebih kuat dan menonjol yang boleh dijadikan sumber tambahan yang informatif untuk memahami sekelumit nilai budaya masyarakat dan bangsa, khususnya Melayu dan beberapa suku kaum lain di Malaysia ini terutamanya di Sabah dan Sarawak." Dalam konteks ini, cerminan budaya yang ditonjolkan di dalam novel-novel Melayu dipengaruhi oleh budaya-budaya pengarang novel tersebut. Hal ini demikian, isu-isu yang ditimbulkan dalam novel dan jalan cerita novel menyentuh aspek sosioekonomi, sosiobudaya dan sosiopolitik. 

Bertitik tolakkan dari aspek sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, gambaran terhadap kehidupan dan nilai budaya masyarakat dicerminkan dalam novel tersebut. Cerminan budaya yang ditonjolkan dalam novel-novel Melayu sebahagian daripadanya mengikut konteks latar masa dan tempat. Sesebuah peristiwa yang berlaku di sekitar masa dan sesuatu tempat memberi inspirasi dan kreativiti pada pengarang untuk mencipta jalan cerita di dalam novel, menghasilkan pelbagai nilai budaya yang dipertaruhkan berikutan dari pengalaman sekeliling pengarang. Berasaskan pada pandangan Northrop Frye, nilai budaya khususnya menyentuh ekonomi, politik, sosial dan budaya dalam sesebuah novel tidak kerkemungkinan wujud melainkan dari pemikiran sedar atau realiti sebenar mahupun bawah sedar pemikiran pengarang. Oleh itu, sedikit sebanyak nilai-nilai budaya sesebuah masyarakat dicerminkan dalam novel-novel Melayu dalam mengungkapkan kebenaran cerminan budaya mahupun realiti yang longgar.
TEKS DAN MAKNA DALAM DRAMA MELAYU MODEN 
OLEH PROF. SOLEHAH ISHAK. 

Teks dan pementasan adalah dua buah medium yang berbeza kepenggunaannya. Teks hanya membalikkan semula sebahagian cerminan budaya daripada maknanya. Sebahagian lagi akan dibalikkan oleh pementasan. Tafsiran pengarang terhadap kepengarangan teks berkemungkinan berbeza tambahan pula jika tokoh yang mengarang dan mementaskan adalah berbeza. Makna teks yang disampaikan lebih tepat disampaikan oleh pengarang teks. Hal ini demikian, pengarang teks lebih memahami mesej dan pemikiran yang ingin disampaikan.


Bentuk teks terbahagi kepada tiga iaitu deklaratif, imperatif dan interogratif. Secara kasarnya ianya merupakan peningkatan pemahaman terhadap teks drama. Imperatif tidak meliputi isi tersirat yang mana ianya mudah difahami, imperatif pula meliputi isi tersurat dan tersirat di dalam teks dan interogratif pula meliputi simbolisme dan absurdisme seerti mimpi dalam mimpi. Ketiga-tiga bentuk teks drama ini membawa makna tersendiri juga merupakan satu wacana persoalan kehidupan mahupun cerminan sesuatu isu. Menurut Solehah Ishak, “...teks yang sama, pementasan drama yang sama, boleh menimbulkan interpretasi dan makna yang berbeza kepada khalayaknya.” Dalam perspektif ini, tafsiran pengarah terhadap teks drama berkemungkinan berbeza dengan pengarang teks drama. Sebaliknya jika pementasan tersebut dipentaskan oleh pengarang teks drama. Oleh itu, khalayak menerima pelbagai variasi makna teks drama mengikut teks mahupun pementasan drama tersebut. Dalam konteks ini, kepelbagaian tafsiran makna teks oleh khalayak bergantung kepada latar belakang khalayak untuk menerima mesej mahupun pemikiran yang disampaikan oleh pengarang atau pengarah.

Selasa, 4 November 2014

PANDANGAN ISLAM TERHADAP TRADISI DAN KEMODENAN 
OLEH KHALIF MUAMMAR A. HARIS

Dari sudut pandangan seorang Islam, umat Islam di Malaysia kini makin maju dengan arus modenisasi dan pemikiran yang berkembang ke arah berwawasan meningkatkan ketamadunan. Pemikiran umat Islam kini terhadap dalam modenisasi, secara tidak langsung membenarkan fatwa-fatwa yang tidak sahih dikeluarkan secara terang-terangan dan juga buka dari ahli ulama yang muktabar. Dalam perspektif ini, pencarian terhadap kebenaran fiqh masih dalam keadaaan yang kabur di bawah modenisasi. Menurut Khalif Muammar A. Haris (2012), modenisasi yang diuar-uarkan kini adalah dari pandangan Barat yang mana Sains dan Teknologi diagungkan oleh masyarakat Barat. Anggapan Barat bahawa Sains dan Teknologi merupakan kayu pengukur tamadun dan kemajuan negara, meletakkan agama mereka ke tepi kerana pandangan dari ahli sarjana Barat Auguste Comte "the dead govern the living" yang mana membawa maksud pemikiranyang diturunkan oleh generasi yang terdahulu kepada generasi kini akan menjadi punca kepada kematian masyarakat kini, Perspektif ini, mengetengahkan bahawa tradisi yang diperturunkan dari ahli ulama terdahulu dan juga ajaran yang telah diperturunkan oleh Nabi Muhammad terhadap umat Islam, bagi pandangan Barat konsep ajaran tradisi iaitu yang terdahulu akan menyingkatkan modenisasi yang berlaku kini.
  
Modenisasi adalah sentuhan kepada materialisasi pada sesebuah tamadun dari sudut Barat. Bahkan, dari pandangan Islam modenisasi tidak dipentingkan malah kemajuan dan keluhuran tamadun kepada fiqh agama yang akan membangkitkan kemajuan sesebuah tamadun tersebut. Oleh itu, Islam tidak mengekang satu pandangan kepada sesebuah tamadun seperti Barat, tetapi memperluaskan pandangan kepada setiap tamadun dengan kesesuaian masa tanpa memperkotak-katikkan hukum agama yang mana setiap mujaddid yang diperturunkan mengisi kesesuaian peredaran zaman. Oleh itu, tiada keraguan dalam ajaran agama Islam, tetapi anggapan dari golongan yang kurang arif tentang agama Islam merendahkan ilmu dan pemikiran terhadap Islam.
PANDANGAN PROGRAM "I WANT TO TOUCH A DOG".

Nota:

*Pandangan mazhab Syafie: Anjing merupakan najis mughallazah dan sesiapa yang menyentuhnya perlu disertu (Samak) Ulama besar mazhab Syafie, Imam Syamsuddin al-Ramli dalam karya beliau, Nihayah al-Muhtaj menyatakan dari hal keharaman menyentuh najis. Fatwa beliau kemudiannya diperjelas oleh Al-Syabramullisi; "Meletakkan (menyentuh) najis hanya diharamkan yang mana ianya perkara yang sia-sia". 

Ertinya haram menyentuh najis sekiranya tiada keperluan (tanpa sebab). Program  "I want to touch a dog" telah menimbulkan perbahasan dan kritikan yang begitu memberi kesan kepada masyarakat Islam di negara kita terutama berbangsa Melayu. Program ini sedikit sebanyak telah menonjolkan kejahilan umat islam di negara kita berhubung perkara asas mengenai najis dan mencelarukan pemahaman kita tentang hukum menyentuh haiwan tersebut. Penganjuran program tersebut menjadi tanda tanya yang mana pelepasan terhadap program sebegini diluluskan tanpa usul selidik tentatif program. Kemungkinan bahawa dengan program sebegini terdapat mesej di sebalik isu yang sengaja menjadikan program viral dalam negara supaya boleh mengalihkan perhatian terhadap isu yang lebih besar yang berlaku di Malaysia kini. Program yang tidak mendatangkan sebarang faedah dan sedikit sebanyak dapat memesongkan akidah umat Islam di Malaysia ini telah dihadiri lebih 1000 pengunjung dan kebanyakannya adalah berbangsa Melayu beragama Islam. Perihal ini menunjukkan kejahilan dan tidak sensitifnya umat Islam di Malaysia generasi kini terhadap penganjuran program ini. Pemikiran terhadap berfikiran terbuka dan yang digalakkan oleh generasi muda tanpa memikirkan larangan dari Islam membuatkan generasi kini menghalalkan perkara yang sedia haram dan mengiyakan perkara yang dikehendaki tanpa merujuk kepada yang satu oleh umat Islam iaitu Al-Quran.